Skuad hoki negara berdepan risiko hilang khidmat kapten, Sukri Mutalib menjelang Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin bermula Selasa depan apabila pertahanan itu terikat dengan tugas sebagai guru di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Kelibat Sukri masih tidak kelihatan pada hari kedua sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil hari ini.

Selain bertugas sebagai guru, Sukri juga perlu mengiringi pasukan SSBJ menyertai Kejohanan Peringkat Remaja yang sedang berlangsung di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia, Bangsar.

Ia sekali gus menyaksikan The Malaysian Hockey Tigers perlu bersiap-sedia tanpa khidmat kaptennya bagi menghadapi Australia, Argentina dan Jepun di Darwin.

"Sukri masih lagi memiliki komitmen sebagai guru. Setiap pemain masih lagi berusaha untuk mendapatkan semula semangat selepas tewas kepada Jepun dalam Sukan Asia.

"Saya berasakan ketiadaan Sukri tidak akan menjejaskan prestasi pasukan," kata penyerang negara, Fitri Saari.

"Terdapat pemain-pemain lain yang mampu menggalas tugas sebagai kapten ketika ketiadaan Sukri dalam saingan di Darwin," kata pemain tengah negara, Ashran Hamsani.

Beberapa pemain senior mampu mengambil alih lilitan kapten seperti Muhammad Razie Abd Rahim, Marhan Jalil dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Skuad negara akan berlepas ke Darwin, Sabtu ini.