Skuad hoki negara berguru di Argentina, Australia 

Oleh Staff Writer 24 April 2018 693
Skuad hoki negara berguru di Argentina, Australia 
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, mengesahkan anak buahnya akan berguru di Argentina dan Australia bulan depan sebagai antara persiapan mantap untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia, 18 Ogos-2 September ini.

Skuad hoki negara kini dalam pemburuan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka perlu memenangi pingat emas Sukan Asia kerana hanya satu tiket  ditawarkan daripada kejohanan itu untuk ke Tokyo.

Bagi mencapai misi itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merencanakan persiapan terbaik buat anak buah Van Huizen menerusi aksi kompetitif bersama dua pasukan handalan dunia bulan depan.

"Kami akan ke Argentina untuk menghadapi enam perlawanan dan kemudian ke Australia sebagai persiapan ke Sukan Asia," kata Van Huizen.

"Persiapan yang sangat baik buat Malaysia. Saya berharap setiap pemain akan memanfaatkan setiap saat kami di sana," kata kapten negara, Sukri Mutalib.

"Kami akan cuba memperbaiki kesilapan, terutama sekali dalam saingan Sukan Komanwel," kata pertahanan negara, Razie Rahim.

Skuad negara kembali menjalani latihan semalam selepas mengharungi Sukan Komanwel Gold Coast dengan menduduki tempat kelima.

Kelibat penjaga gol, S. Kumar, mencuri tumpuan apabila menjalani latihan hari pertama bersama skuad negara selepas bebas daripada hukuman susulan gagal ujian doping.

Turut kembali menyertai skuad negara ialah empat pemain utama lain yang tidak ke Gold Coast, antaranya Marhan Jalil, Faiz Helmi Jali dan Izad Hakimi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen