Pertahanan skuad hoki wanita negara, Siti Rahmah Othman, mengambil keputusan drastik mengumumkan persaraan menjelang kelayakan Sukan Olimpik bulan depan.

Siti Rahmah mengucapkan selamat tinggal kepada The Malaysian Tigress selepas 15 tahun menyarung jersi negara dan sepanjang tempoh itu, dia sudah beraksi di semua posisi.

Siti Rahmah kini sudah menyertai kebanyakan kejohanan besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, Trofi Juara-Juara Asia, Separuh Akhir Liga Dunia dan Sukan SEA.

"Setelah hampir 15 tahun saya bersama skuad hoki wanita, jadi keputusan ini dibuat kerana saya rasa mahu beralih ke bahagian kejurulatihan serta fokus kepada keluarga," katanya.

Dalam masa sama, skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu menerima satu lagi tamparan menjelang Hoki Siri Dunia di Singapura bulan depan apabila pemain tengah, Nor Baini Hashim, turut menarik diri.

"Hoki Siri Dunia ini akan menyaksikan dua pasukan akan ke pusingan seterusnya dan saya rasa kami patut layak walaupun akan beraksi tanpa beberapa pemain.

"Pasukan ini mempunyai kekuatan untuk melepasi ujian kali ini," ujar Dhaarma lagi.