MALAYSIA 0 INDIA 1

Anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak mampu meraih kemenangan sulung selepas tewas tipis 1-0 kepada India dalam siri lima perlawanan persahabatan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.


Selepas hanya menang tipis 1-0 dalam perlawanan keempat semalam , India tampak semakin sukar untuk mengulangi kejayaan besar seperti perlawanan pertama dan kedua.

Anak buah Dhaarma juga tampak lebih bertenaga menerusi siri serangan dan juga percubaan ke arah pintu gol India dalam suku pertama perlawanan.

Kedudukan tanpa jaringan menuju suku kedua menyaksikan India terpaksa mengubah beberapa strategi.

Bagaimanapun, India masih gagal menembusi benteng skuad hoki wanita negara, malah skuad Dhaarma itu tampak lebih garang.

India mula menyusun strategi dalam suku ketiga dan hasilnya, Navjot Kaur berjaya menembusi gawang negara melalui gol padang.

Suku keempat perlawanan memperlihatkan kesungguhan skuad bimbingan Dhaarma mencari gol penyamaan, namun terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 di tangan India.