Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, menganggap barisan pemainnya bersikap terlalu yakin apabila mendahului India dalam suku ketiga perlawanan siri persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati apabila skuad negara akhirnya membolosi gawang pasukan yang berada di ranking kesembilan dunia itu selepas dua perlawanan.

Biarpun hasrat untuk mencetak kemenangan pertama tidak kesampaian selepas seri 4-4, Dhaarma menuntut The Malaysian Tigress supaya mengekalkan tahap prestasi seperti itu dalam baki dua perlawanan esok dan Khamis ini.

Menurutnya, lima aksi ujian itu adalah pendedahan terbaik buat anak buahnya selain menjadi medan pemilihan skuad utama menjelang kempen Final Siri Hoki Dunia di Ireland, Jun depan.

"Pasukan wanita kebangsaan telah membuktikan bahawa mereka boleh berikan persembahan yang baik.

"Selepas berehat begitu lama di pentas antarabangsa, saya nampak peningkatan yang ditampilkan dalam perlawanan ketiga.

"Mungkin pemain boleh kekalkan momentum ini dalam dua baki perlawanan lagi," kata Dhaarma.

Sementara itu, Nuraini Abdul Rashid, yang menghadiahkan dua jaringan melalui pukulan sudut penalti, mengakui sudah mula mendapat rentak permainan tetapi masih perlu berusaha keras untuk mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.

"Daripada segi percaturan baru yang diterapkan jurulatih, Alhamdulillah sudah ada nampak peningkatan dalam perlawanan ketiga ini.

"Tetapi kami tetap tidak dapat mengekalkan momentum itu dan kami sepatutnya menang hari ini," katanya.