Brazil pasukan pertama tiba di Malaysia sempena Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia 2019 yang bermula 26 April ini dengan pengendalinya, Claudio Rocha, menegaskan lima pemain yang beraksi di Eropah akan menjadi senjata utama mereka dalam pemburuan tiket sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Brazil tiba awal di Kuala Lumpur untuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu dan cuaca.

Dalam masa sama, pasukan di ranking ke-27 dunia itu menunggu kehadiran lima pemain mereka yang beraksi di Eropah yang akan menjadi taruhan mereka untuk mencabar Kumpulan B yang membabitkan Malaysia, China dan Itali di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

"Saya mempunyai pemain yang beraksi di Belanda, termasuk Australia.

"Kehadiran mereka memberi rangsangan terhadap pasukan ini memandangkan mereka beraksi dalam kancah liga yang sengit," ujar Rocha.

Tambah ketua pasukan Brazil, Andre Patrocinio: "Ketika dalam persiapan Sukan Pan Amerika, kami sempat bertemu Malaysia di Belanda untuk aksi persahabatan dan ia perlawanan yang sengit.

"Justeru, saya harap kami mampu menang di sini."

Aksi terakhir membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menang 3-2 pada 2015.