Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mahu skuad hoki negara meraih kejuaraan dalam Kejohanan Hoki Siri Final Dunia di Kuala Lumpur dari 26 April–4 Mei ini bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Subahan menganggap KHM sudah memberikan persiapan terbaik buat skuad negara dan adalah kewajaran untuknya meletakkan harapan setinggi itu.

Selain itu, beliau mahu barisan pemain negara menggunakan cabaran tersebut untuk menamatkan kemarau 19 tahun ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Daripada segi pengurusan, KHM telah melakukan yang terbaik.

"Sepanjang empat tahun ini, tiada sebarang isu pemain lambat menerima gaji.

"Jadi, ia terpulang kepada mereka untuk membayar kembali apa yang telah kami lakukan untuk mereka selama ini.

"Mereka perlu memberikan aksi terbaik kerana dalam sukan ini, hanya pemain dapat menterjemahkan segala-galanya di atas padang," katanya.

Dalam pada itu, pengendali negara, Roelant Oltmans, optimis skuad kendaliannya mampu meraih kejuaraan dengan hanya China menjadi pencabar utama dalam Kumpulan B.

Oltmans mampu menarik nafas lega apabila Shahril Saabah, Haziq Shamsul dan Najib Abu Hassan akan kembali menyertai kem latihan kebangsaan selepas bebas daripada kecederaan.

"Hanya S. Kumar dan Sukri (Mutalib) akan menjalani pemeriksaan kesihatan, Khamis ini.

"Selepas itu, kami akan menilai sama ada mereka mempunyai peluang untuk beraksi.

"Kumar kelihatan baik untuk kembali dipertaruhkan, namun saya tidak dapat menjamin apa-apa mengenai Sukri," katanya.