Skuad hoki wanita negara menutup kempen Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 dengan menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Republic Czech 3-0 untuk meredakan sedikit kekecewaan gagal ke final.

Aksi malam tadi juga merupakan kemenangan kedua skuad hoki wanita negara selepas menewaskan lawan sama di peringkat kumpulan di Banbridge, Ireland Utara.

Penyerang sensasi negara, Hanis Nadiah Onn, membuka tirai jaringan buat skuad negara pada minit ke-11.

Malaysia menggandakan jaringan menerusi Fazilla Slyvester Silin pada minit ke-34 untuk terus memberikan tekanan kepada pasukan di ranking ke-19 dunia itu.

Selepas hampir 30 minit menanti, skuad bimbingan Muhamad Dhaarma Raj Abdullah itu akhirnya menambah gol ketiga perlawanan, kali ini giliran Nur Amirah Shakirah Zulkifli mengukir nama sebagai penjaring.

Dia menyambut baik hantaran Nor Faizah Sayuti sebelum melepasi penjaga gol lawan, Barbora Cechakova, pada minit ke-60.

"Kempen tahun ini dianggap pencapaian terbaik skuad hoki wanita negara.

"Kejohanan ini sangat sengit dan kemampuan skuad negara meraih tempat ketiga merupakan kejayaan yang drastik," kata Dhaarma.