Skuad hoki wanita negara bukan sahaja mempunyai misi wajib menang, malah perlu mencatat jumlah jaringan yang besar untuk mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya dalam Pusingan Akhir Siri FIH 2019 apabila bertemu negara jiran, Singapura, di Banbridge, Ireland Utara, tengah malam ini.

Malaysia mempunyai rekod yang cukup baik ketika bertemu seteru itu sebelum ini.

Kemenangan 5-0 dalam Siri Dunia Singapura menjadi azimat buat barisan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu untuk mengulangi aksi sama.

Selain itu, kelebihan ranking juga memihak Malaysia apabila berada di kedudukan ke-22 dunia, lebih baik berbanding Singapura yang hanya menduduki tangga ke-35.

Malaysia menyasarkan untuk menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan untuk mencari slot ke pusingan seterusnya.

"Kami membuktikan diri sebagai pasukan dengan reputasi besar apabila memenangi Siri Dunia Singapura 2018 dengan mudah dan ia sudah dikira bagus," jelas jurulatih itu.

Malaysian Tigress hampir mengikat naib juara Piala Dunia, Ireland, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, malam tadi, tetapi terpaksa akur apabila tewas tipis 2-1 kepada tuan rumah itu.

"Apabila menentang pasukan tuan rumah yang 14 anak tangga lebih baik merangkap naib juara 2018, ia mencetuskan kegugupan dalam kalangan pemain negara," katanya lagi.