Siri Akhir FIH: Malaysian Tigress azam terus mengasak 

Oleh Staff Writer 12 Jun 2019 3395
Siri Akhir FIH: Malaysian Tigress azam terus mengasak 
MALAYSIA 3 REPUBLIK CZECH 1 

Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, merancang satu lagi serangan bertali-arus dalam misi menewaskan Perancis dalam suku akhir Kejohanan Hoki Pusingan Akhir Siri FIH 2019 di Banbridge, Ireland Utara esok selepas corak sama berjaya menjerat Republik Czech.


Aksi menentang Perancis itu ibarat misi hidup mati Malaysian Tigress apabila kian mencuri tumpuan dengan mempamerkan corak serangan bertali-arus ketika menumbangkan Republik Czech 3-1 semalam untuk menghuni tangga kedua Kumpulan B.

Lantas, Dhaarma yakin corak sama akan memerangkap Perancis yang menghuni ranking ke-30 dunia.

"Mentaliti yang saya terapkan ini dikira berani memandangkan kami perlu memberi tekanan di posisi tinggi sepertimana ketika bertemu Republik Czech berbanding mengambil pendekatan berhati-hati," katanya dengan Malaysia mencatat dua kemenangan dengan koleksi 16 gol. 

Gol skuad negara yang di ranking ke-22 dunia dijaringkan penyerang, Nor Faizah Sayuti, Fazilla Sylverster Silin dan Fatin Shafika Sukri sementara gol sagu hati lawan disumbat Adela Lehovcova.

Jika menang, Malaysia akan bertemu Korea Selatan di peringkat separuh akhir, iaitu lawan yang ditewaskan dalam Sukan Asia Indonesia 2018.

Hanya dua pasukan terbaik akan meraih tiket play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen