Ketua pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, Shello Silverius, meninggalkan Liga Hoki Remaja Malaysia dengan tiga trofi penting yang akan menjadi bekalan untuknya merebut tempat dalam skuad belia dan senior kebangsaan.

SSTMI Thunderbolt mempertahankan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan AHP-SSP-Thunderbolt 4-0 dalam perlawanan akhir Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jika pasukan kebangsaan memiliki Fitri Saari, skuad muda pula memiliki Shello yang diangkat sebagai pemain terbaik final.

Ini tahun terakhir buat pemain tengah itu beraksi dalam Liga Hoki Remaja sebelum beralih ke peringkat senior pula. Justeru, dia melihat pentas remaja sebagai platform ideal untuknya menggilap bakat sebelum beraksi di peringkat lebih tinggi.

"Penamat saya dalam saingan remaja amat baik, saya mahu meneruskannya di tahap seterusnya.

"Mungkin selepas ini saya lebih berpeluang dalam program remaja," kata pemain tengah itu yang akan bersama skuad B-21 negara untuk persiapan menghadapi Piala Sultan Johor.