Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengakui Sepanyol jauh lebih kuat berbanding pasukannya selepas tumpas 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, awal pagi tadi.

Dharma berkata Sepanyol -- yang sebelum ini menjadi sasaran untuk Malaysia memburu satu kemenangan -- jauh lebih berbisa daripada Australia yang menewaskan skuad negara 3-0 dalam perlawanan pembukaan.

"Saya rasa, pasukan Sepanyol jauh lebih bagus daripada Australia. Hari ini kami akui pasukan lawan terlampau kuat untuk kami."

Malaysia cuba bermula garang pada awal perlawanan dan menerima peluang pukulan sudut penalti seawal minit kedua.

Siti Noor Amarina Ruhani berada pada kedudukan terbaik untuk menyempurnakan jaringan pertama negara, sekali gus menyaksikan Malaysia memimpin permainan buat seketika.

Situasi itu cepat dinafikan Sepanyol yang akhirnya berjaya mencipta gol padang menerusi Carola Salvatella pada minit ke-28.

Pergerakan lincah dan teknik Sepanyol nyata sukar dibaca barisan Dhaarma untuk membuka ruang mudah buat Sepanyol menembusi kawasan D Malaysia.

Dalam kekalutan pertahanan negara menepis asakan mereka, Sepanyol diberi peluang pukulan penalti yang mudah disempurnakan Lola Riera pada minit ke-31.

Itu tidak cukup buat Riera, yang sekali lagi menggegarkan gawang negara menerusi pukulan sudut penalti, lima minit kemudian.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol, Adrian Lock, berkata: "Pasukan Malaysia bermula dengan kuat dan menjaringkan gol pada awal perlawanan. Ia membuatkan kami cemas dan mengambil masa untuk kami kembali kepada rentak permainan."

Selepas mengalami kekalahan kedua peringkat kumpulan, Malaysia terus tergelincir ke tangga tercorot dengan Australia memimpin kedudukan hasil meraih enam mata.