Bekas pemain hoki Itali, Marta De Guio, hampir pasti melatih skuad pembangunan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) selepas ditawarkan kontrak selama enam bulan, hari ini.

Ia diumumkan oleh Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, yang menyaksikan De Guio diberikan masa dua minggu untuk membuat kata putus berhubung tawaran itu.

Megat Shahriman berkata tawaran itu bertujuan untuk khidmat kejurulatihan dan menguatkan program pembangunan pemain serta mewujudkan liga hoki pembangunan bagi kategori bawah lapan (B-8), B-10, B-12 dan B-16.

"Ini adalah salah satu inisiatif KLHA untuk membawa pembaharuan dan nafas baharu supaya pemain yang akan datang dapat memiliki mentaliti serta mendapat pendedahan daripada segi corak permainan gaya Eropah di samping mewujudkan 'kejurulatihan hibrid', iaitu jurulatih tempatan bergabung dengan jurulatih luar negara.

"Kita akan ada kombinasi jurulatih tempatan dan luar negara untuk kerja bersama dalam tempoh enam bulan dan jika ia menghasilkan perkembangan positif, kami akan sambung lagi enam bulan," katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Megat Shahriman menegaskan KLHA tidak mengeluarkan sebarang belanja untuk melantik De Guio, sebaliknya menerima penajaan daripada syarikat import-eksport makanan Eropah dan jika De Guio menerima tawaran tersebut, dia akan memulakan tugas 1 Ogos ini.

De Guio, 32, yang bermain di posisi pertahanan, pernah membuat 84 kali penampilan dengan pasukan hoki kebangsaan Itali dan menerima sijil kelayakan jurulatih peringkat dua dari Hoki Australia.

Dia pernah melatih pasukan Year 9, First Team Canterbury College serta pasukan ASD SG Amsicora Cagliari B12.

Sementara itu, De Guio berkata dia sangat berminat dengan tawaran tersebut tetapi memerlukan sedikit masa untuk meneliti kontrak itu.

"Saya perlu melihat kontrak terlebih dahulu dan ya saya berminat, itulah sebabnya saya berada di sini.

"Apa yang saya boleh tawarkan ialah saya boleh membuat sedikit peningkatan dari bahagian pembangunan sehingga B-16.

“Akan ada lebih banyak kemahiran kecergasan taktikal yang kita perlukan untuk memperbaiki dan memberi mereka peluang untuk mendapatkan pengalaman di Eropah pada akhirnya," tambahnya.

-- BERNAMA