Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, mengakui persaingan merebut tempat dalam skuad utama makin sengit selepas pemain simpanan mengetuai kejayaan menumbangkan Jepun 4-0 untuk meraih tangga ketiga Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin.

Skuad hoki negara menyambung semula sesi latihan buat kali pertama selepas meraih tangga ketiga di Darwin, Sabtu lalu.

Kejohanan itu turut disertai enam anggota senior yang direhatkan seperti Faizal, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan penjaga gol, S. Kumar.

Situasi itu menjadi menarik apabila persaingan makin sengit untuk merebut tempat menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Oman, bermula 18 Oktober depan.

"Ini satu saingan yang sihat.

"Dengan ramainya pemain muda yang sedang meningkat naik, pemain senior perlu berlatih lebih gigih untuk mendapat tempat," kata Faizal.

Menurut pertahanan negara, Amirul Aideed Arshad, pula: "Persaingan (merebut tempat) akan lebih sengit berbanding pemilihan Sukan Asia 2018.

"Kami akan membuat persiapan sebaik mungkin."

Gandingan Amirul di bahagian benteng, Faiz Helmi Jali, pula berpandangan cabaran merebut tempat semestinya akan mengerah para pemain untuk menghasilkan prestasi terbaik bagi menambat hati jurulatih.

"Dalam Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin, prestasi pemain yang terpinggir dalam Sukan Asia yang lalu nampak semakin meningkat naik.

"Senario ini bakal mewujudkan saingan sihat dalam pasukan dan menjadikan pasukan negara akan lebih kuat," katanya.

Selepas Oman, skuad kendalian Stephen Van Huizen itu akan mencabar Piala Dunia di Bhubaneswar, India, dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Belanda, Jerman dan Pakistan.

Dalam perkembangan lain, Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia masih menunggu keputusan kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), November depan, mengenai rayuan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selaku pemenang pingat perak Sukan Asia 2018.