Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, lega apabila corak permainan pasukannya menjadi untuk menewaskan India 3-2 dalam kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, malam tadi.

Razie, yang menjaringkan dua daripada tiga gol untuk Malaysia, gembira kerana dapat menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti dengan baik.

Tambahnya, rakan sepasukan harus diberi pujian di atas usaha keras mereka termasuk mengkaji corak larian pelari pertama India.

"Alhamdullillah, peluang yang ada saya dapat laksanakan dengan baik. Ia disebabkan saya dan rakan yang lain sudah melihat dan mengkaji pertahanan India.

"Ia membuatkan kami meraih kemenangan. Inilah sasaran kami, berada dalam kelompok empat terbaik. Saya tidak mahu perkara lama kembali berlaku. Jadi pasukan kami layak ke Piala Dunia secara merit," katanya.

Sementara itu, Razie turut merakam penghargaan kepada peminat yang memberi sokongan kepada skuad negara dalam kejohanan ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kerana menyokong skuad negara. Walaupun kami mengalami dua kekalahan pada awal saingan tetapi penyokong tetap memberikan semangat kepada kami.

"Alhamdullillah, berkat doa peminat dan keluarga di Malaysia memberi kemenangan untuk kami di sini.

Kemenangan ke atas India membawa Malaysia berada dalam empat pasukan terbaik untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, tahun depan.