Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata terhadap pengorbanan penjaga gol berpengalaman skuad hoki negara, S. Kumar, kerana sepanjang beraksi di Argentina melalui enam aksi persahabatan, dua anaknya termasuk cahaya mata yang baharu lahir pada 25 Mei lalu ditahan di hospital.

Kumar, yang baru tiba di ibu negara hari ini, mengakui hatinya tidak tenteram sepanjang berada di sana apabila terkenang nasib anak-anak.

Anak ketiga yang baru berusia seminggu terpaksa berada di hospital ekoran jangkitan di paru-paru selain anak keduanya disahkan menghidap influenza.

Katanya, setiap hari dia menghubungi keluarganya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kesihatan kedua-dua anaknya ketika dia juga perlu memberi fokus sepenuhnya dalam semua perlawanan dalam jelajah Argentina.

"Kedua-dua anak saya tidak sihat dan salah seorang dimasukkan ke hospital. Sepanjang saya berada di Argentina, banyak dugaannya tetapi saya masih fokus untuk perlawanan.

"Saya akui susah hati untuk melalui jelajah itu. Ramai orang tidak tahu sebab saya tidak pernah cakap," katanya.

Semangat juang Kumar turut menyentuh perasaan jurulatih, Stephen Van Huizen, yang menjelaskan bukan sesuatu yang mudah berada di tempatnya.

"Kumar membuat pengorbanan selepas berbincang dengan isterinya. Yalah, anak lelakinya dilahirkan tanpanya dan sepanjang di sana dia juga dengar anaknya sakit. Ia sukar kerana Kumar berada jauh," katanya.

Skuad hoki lelaki negara meraih satu kemenangan menerusi keputusan 2-1 dalam aksi terakhir dalam jelajah Argentina, dengan lima perlawanan lain merekodkan satu keputusan seri dan empat kekalahan.