Raja boling tenpin negara, Rafiq Ismail, tidak berselindung di sebalik pergelutan mencari prestasi persis juara dunia ketika aksi dalam Jelajah PBA Amerika Syarikat mengecewakan.

Secara keseluruhan, Rafiq menyertai tujuh kejohanan di Amerika Syarikat, bermula dengan Kejohanan Pemain PBA, 12 Februari lalu.

Daripada siri kejohanan itu, hanya satu yang boleh dianggap memuaskan apabila dia menamatkan saingan di kedudukan ketujuh menerusi penampilan di Allen Park, Michigan.

Atas dasar itu, Rafiq berpandangan tidak ada apa yang boleh dibanggakan secara peribadi ketika dia mengetahui tuntutan untuk sentiasa mempamerkan prestasi terbaik.

"Keputusan di Amerika Syarikat sebelum ini tidak memuaskan. Permainan di sana agak berbeza dan saya masih lagi dalam proses pembelajaran. Terdapat kesilapan mudah yang dilakukan dan saya sedang berusaha memperbaikinya," katanya.

Rafiq adalah antara 20 atlet negara yang disenaraikan beraksi dalam Kejohanan Terbuka Thailand edisi ke-45 bermula esok.

Memandangkan penyertaan dalam kejohanan itu membabitkan antara terbaik Asia, Rafiq realistik dalam meletakkan sasaran membawa pulang kejuaraan.

"Pesaing yang ada dalam kejohanan ini mampu memberikan cabaran dan mereka berada dalam kalangan 10 terbaik dunia. Saya tidak mahu meletakkan tekanan yang terlalu tinggi, mengakhiri saingan dalam kedudukan podium satu pencapaian yang baik untuk saya."