QIUP Eagles, SMK Gunung Rapat Highlander juarai Liga Hoki Perak 

Oleh Azizan Hashim 19 November 2018 791
QIUP Eagles, SMK Gunung Rapat Highlander juarai Liga Hoki Perak 
Universiti Antarabangsa Quest Perak (QIUP Eagles) dan SMK Gunung Rapat Highlander muncul juara kategori lelaki dan wanita Liga Hoki Perak TNB-Quest 2018 yang berakhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.

QIUP Eagles menumpaskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2-0 sementara Highlander menundukkan Landak Hoki Muallim (UPSI) 8-0.

Eagles yang diperkasakan oleh lima bekas pemain kebangsaan iaitu Izad Hakimi Jamaluddin, Roslan Jamaluddin, Baljit Singh, Herwan Pami, Khairul Nizam Rani serta pemain remaja kebangsaan, Azrai Aizat, nyata terlalu gagah buat lawannya.

Mereka mendahului dalam suku kedua melalui jaringan pemain terbaik perlawanan akhir Muhammad Azraiaizad Kamal pada minit ke-14.

Jasvinder Singh mengukuhkan kedudukan Eagles melalui pukulan sudut penalti di minit ke-25 untuk membantu pasukannya meraih hadiah wang tunai RM3, 000, piala pusingan dan pingat.

Kesungguhan pemain muda MBI nyata tidak mencukupi buat mereka menggugat lawan dan terpaksa berpuas hati dengan hadiah RM2, 000.

Sementara itu, Anderson Tiger menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Landak Hoki Muallim 3-1 melalui penentuan penalti selepas kedudukan terikat 1-1.

Bagi kategori wanita, Highlander nyata terlalu gagah buat Landak apabila mendahului 6-0 dalam babak pertama.

Fatihah Hanim Mohd Zaki serta Siti Anis Uzwa Samsudin berkongsi tujuh gol dalam kalangan mereka tatkala RPS Bravo menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Quicksilver 1-0.
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen