Malaysia bukan sahaja mempunyai misi wajib menang ke atas England dalam mencari tiket ke final Piala Sultan Azlan Shah 2018 malam ini, malah turut membawa dendam selepas diaibkan dua kali oleh pasukan itu ketika kempen Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Sebelum Piala Sultan Azlan Shah bermula, jurulatih negara, Stephen Van Huizen, hanya mahu barisan pemain memperbaiki kedudukan tahun lalu selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

Tambahan, dalam kalangan enam negara yang mengambil bahagian pada tahun ini, Malaysia merupakan pasukan yang berada di ranking paling rendah, iaitu di tangga ke-12 dunia.

Kini, Malaysia berpeluang untuk melangkah ke final setelah kali terakhir mereka berada di pentas final pada 2014, dengan syarat mesti menumpaskan England di Ipoh, malam ini.

"Saya berharap selepas membuat penilaian, kami tidak melakukan kesilapan yang sama.

"Bermain di peringkat ini, kita perlu memanfatkan peluang dan tidak membuat kesilapan mudah," kata Van Huizen.

Misi ini juga dianggap getir kerana berdasarkan rekod pertemuan lalu, Malaysia pernah dibelasah England sebanyak dua kali ketika bertemu dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Ketika itu, gawang Malaysia dirobek 7-3 pada peringkat kumpulan dan kemudian diratah 4-1 dalam penentuan tempat ketiga.

Pun begitu, barisan pemain negara menganggap ia sebagai satu statistik di atas kertas dan percaya mereka mampu untuk menumbangkan England di laman sendiri.

"Memang kami tahu ranking kami lebih rendah berbanding pasukan lain. Tetapi sebagai sebuah pasukan, kami mengharapkan persembahan terbaik dapat dilakukan," kata pemain tengah, Marhan Abdul Jalil.