PSAS: Malaysia langkah kanan

Oleh Staff Writer 3 Mac 2018 8597
PSAS: Malaysia langkah kanan
MALAYSIA 4 IRELAND 1

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membelasah Ireland 4-1 selain kapten negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, cemerlang meledak hatrik dalam perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, malam ini.


Razie membuka tirai jaringan menerusi satu gerakan solo menarik pada minit keempat untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong tuan rumah.

Jaringan skuad negara tidak terhenti setakat itu apabila giliran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil terus meletakkan Malaysia di hadapan pada minit kesembilan apabila dia bijak menggunakan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Ireland untuk meledak.

Enam minit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, Razie sekali lagi mencatat nama selaku penjaring, kali ini menerusi pukulan sudut penalti dan keputusan 3-0 membawa kedua-dua pasukan ke bilik persalinan.

Pada awal separuh masa kedua, Malaysia nyaris menggandakan jaringan, namun peluang yang terhidang itu gagal dimanfaatkan selain beberapa pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada skuad negara turut berjaya dipatahkan pasukan lawan.

Bagaimanapun, seminit sebelum aksi suku ketiga berakhir, Razie meledak hatrik untuk membawa Malaysia terus selesa di hadapan.

Ireland memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan Kirk Shimmins pada minit ke-53 untuk mengubah kedudukan 4-1 dan keputusan tersebut kekal sehingga siren penamat dibunyikan.

Selaku penjaring hatrik, kapten negara itu turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Malaysia seterusnya akan berdepan pasukan yang berada di ranking pertama dunia, Australia, untuk aksi kedua, esok.

Keputusan lain:

Argentina 3 India 2
Australia 4 England 1
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen