Skuad hoki negara terpaksa akur dengan status Australia sebagai pasukan di ranking pertama dunia apabila tewas 1-3 dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, malam ini.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang beraksi bermati-matian dan memberikan tentangan sengit kepada The Kookaburras sebelum membenarkan mereka meraih kemenangan.

Keputusan itu juga meletakkan Malaysia kini di tangga ketiga dengan tiga mata sementara Australia berada di tempat teratas dengan enam mata dan dipisahkan dengan perbezaan gol untuk meletakkan Argentina di kedudukan kedua dengan turut mengumpul enam mata.

Australia terlebih dahulu dipaksa berkerja keras sebelum kesilapan skuad negara yang menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Australia. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh mereka bagi meledak gol menerusi Corey Weyer pada minit ke-10.

Beberapa saat sebelum suku kedua berakhir, pintu gol The Malaysian Tigers sekali lagi dirobek oleh Australia apabila kesilapan di bahagian pertahanan menyebabkan penjaga gol negara, Mohammad Hairi Abd Rahman, terpaksa keluar daripada posisinya dan dimanfaatkan oleh Dylan Wotherspoon untuk meledak gol kedua, sekali gus menutup aksi separuh masa pertama 2-0.

Tiga minit selepas memulakan separuh masa kedua, Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama hampir merapatkan kedudukan menerusi penyudah kapten negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, namun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas Australia mencabar untuk menggunakan video rujukan.

Di sebalik skuad negara terus mempamerkan aksi terbaik dengan mematahkan beberapa pukulan sudut penalti serta cubaan serangan Australia, dua minit sebelum berakhirnya suku ketiga menyaksikan pintu gol negara sekali lagi dibolosi, kali ini menerusi jaringan padang Aaron Kleinschmidt untuk membawa pasukannya selesa di depan 3-0.

Sikap tidak berputus asa menyaksikan The Malaysian Tigers terus menggandakan asakan yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-53. Pintu gol Australia berjaya dibolosi menerusi jaringan padang Mohd Marhan Mohd Jalil untuk mengubah kedudukan kepada 1-3.

Namun, jaringan Marhan itu tidak cukup untuk menidakkan kemenangan kedua berturut-turut Australia apabila kedudukan 1-3 itu kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan lain:

India 1 England 1
Ireland 3 Argentina 5