MALAYSIA 2 ENGLAND 7

Hasrat Malaysia untuk menempah slot final tidak kesampaian apabila terpaksa menerima hakikat tewas 7-2 di tangan England dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam ini.


Selepas kalah 5-1 di tangan India, Rabu lalu, Malaysia gagal bangkit dan kali ini terpaksa menelan keperitan dibelasah jaguh Eropah itu.

Semuanya bermula dengan jaringan pembukaan Mark Gleghorne pada minit ke-11. Belum sempat Malaysia bangkit, Ollie Willars kemudian menggandakan jaringan buat England.

Pada minit ke-14, giliran Barry Middleton pula menjaringkan gol ketiga England dan Malaysia lantas kelihatan sukar untuk bangkit daripada penguasaan lawan.

Pada minit ke-31, Middleton sekali lagi membolosi gawang Malaysia dengan menyumbat gol keempat England.

Selepas itu, Sam Ward menjaringkan gol kelima England dan Malaysia tiada peluang langsung untuk memberi saingan.

Ward sekali lagi menjadi penjaring dengan gol keenam sebelum Mark Gleghorne menyudahkan gol ketujuh.

Malaysia akhirnya berjaya membolosi gawang England menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Muhammad Marhan Mohd Jalil, namun tetap perlu menerima hakikat tumpas 7-2.

Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat dan perlu berdepan Argentina sekali lagi untuk perebutan tempat ketiga-keempat.

Hari terakhir saingan esok dimulakan dengan aksi penentuan tempat kelima-keenam di antara Ireland dan India, diikuti pertembungan Malaysia dan Argentina, sebelum Australia dan England berentap untuk kejuaraan.

Keputusan lain:

Ireland 3 India 2
Argentina 1 Australia 3