Penjaga gol utama skuad hoki negara, S. Kumar, tidak terancam dengan tindakan ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans, membawa empat pemain baru ke saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula Sabtu ini bagi meningkatkan persaingan merebut tempat di pentas Final Siri Hoki.

Bagi Kumar, pemain senior perlu berusaha lebih keras untuk memastikan posisi mereka tidak dirampas dan kehadiran empat pemain baru dilihat mampu meningkatkan persaingan dalam usaha membentuk skuad lebih berkualiti.

"Sekarang ramai pemain muda yang berbakat tetapi mereka tidak mendapat peluang. Jadi, apabila meraih kesempatan itu, mereka akan lebih bersemangat, sekali gus meningkatkan kekuatan pasukan," katanya.

Kumar merupakan antara pemain yang direhatkan ekoran kecederaan selain kapten, Sukri Mutalib, dan pertahanan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan.

Mereka yang dibawa ke Ipoh ialah Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Lukman Hakim Ahmad Shukran dan penjaga gol, Muhammad Zaimi Mat Deris.

"Bagi saya, memang mereka patut diberi peluang dalam kejohanan seperti ini. Mereka akan meraih keyakinan untuk beraksi di peringkat lebih tinggi," tambah Kumar.

"Ia juga sesuatu yang adil buat pemain muda kerana sebelum ini, mereka tidak mendapat peluang beraksi dalam kejohanan besar walaupun menjalani latihan bersama. Saya harap mereka mampu meraih keyakinan."