Penamat sempurna buat ketua pasukan hoki Australia, Mark Knowles, yang menyifatkan malam tadi merupakan penampilan terakhirnya dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) selepas membantu The Kookaburras menumbangkan England 2-1 di pentas final.

Sejak membuat penampilan sulung pada 2004, Knowles sudah menjulang kejuaraan PSAS sebanyak lima kali bersama Australia.

Kejayaan berganda buat Knowles apabila turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Malah, lebih manis, dia mengecapi semua itu pada hari jadinya yang ke-34.

"Saya hanya mahu mengatakan terima kasih kepada Malaysia kerana menganjurkan kejohanan hebat ini.

"Saya fikir kami Australia banyak mengecap kejayaan. Jadi, terima kasih untuk kejohanan ini," katanya.

Australia mempamerkan watak sang juara di Ipoh, Perak selepas menumbangkan England di pentas final menerusi jaringan Blake Govers dan Lachlan Sharp manakala England merapatkan jurang menerusi Sam Ward.

Secara tidak langsung, Australia menamatkan edisi kali ini dengan rekod 100 peratus kemenangan.

Selepas menjulang Piala Sultan Azlan Shah, hasrat Knowles selepas ini adalah cuba memenangi pingat emas Sukan Komawel di tempat sendiri, bulan depan, sebelum bersara sepenuhnya.

"Kejohanan terakhir saya sudah tentu di Australia (Sukan Komanwel).

"Tetapi kejohanan di sini sangat hebat, kami berjaya mengekalkan prestasi dengan baik sebelum saya menamatkan kerjaya dalam hoki," katanya lagi.