England bersedia meranapkan impian Malaysia untuk mara ke final apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam ini.

Malaysia kini berada di tangga ketiga dengan mengutip enam mata sementara England pula berada di tangga keempat dengan lima mata.

Persaingan untuk pentas final masih terbuka, dengan satu lagi slot sudah pun diisi terlebih dahulu oleh juara sembilan kali, Australia, yang selesa berada di puncak liga.

Berbekalkan motivasi mengikat pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina, pada Rabu lalu, England percaya mereka mampu untuk menumbangkan Malaysia, sekali gus mara ke perlawanan akhir.

"Kami hadir dalam pertandingan ini bukan dengan sambil lewa tetapi jelas ia untuk persiapan ke kejohanan akan datang, iaitu Sukan Komanwel.

"Kami akan bermain sehabis baik dengan kemampuan kami. Kami akan terus mempertingkatkan prestasi menentang Malaysia," kata jurulatih England, Bobby Cructhley.

Biarpun England sudah lama tidak beraksi dalam saingan ini, dengan kali terakhir mereka membuat penampilan adalah pada 2001, namun ia tidak beri banyak perbezaan kerana kebanyakan pemain pernah membarisi skuad Great Britain.

Sebelas pemain daripada skuad kali ini adalah muka lama yang dikekalkan ketika Great Britain menjulang kejuaraan pada tahun lalu.

"Jujurnya, pasukan ini dengan pasukan Great Britain hampir sama. Kami mempunyai ramai pemain yang bermain pada tahun lalu.

"Saya fikir, kekuatan kami adalah kemahiran pemain dengan hantaran dan larian. Kami mempunyai kemahiran itu," kata kapten England, Ian Sloan.