Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans, menyenaraikan empat muka baru untuk menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 dari 23 hingga 30 Mac ini.

Daripada senarai 18 pemain yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), empat pemain muda yang bakal beraksi dalam kejohanan itu terdiri daripada Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan penjaga gol yang sedang meningkat naik, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Selain itu, pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, yang meninggalkan skuad negara secara mengejut Julai lalu, turut tersenarai untuk membarisi 18 pemain terbaik ke Ipoh.

Jurulatih kebangsaan, Oltmans, cukup gembira dengan kehadiran tujuh pemain yang tidak berada dalam skuad Piala Dunia 2018 serta dua pemain muda, Arief Syafie dan Azrai Azad.

Dalam ketiadaan kapten negara, Sukri Mutalib, yang dilanda kecederaan, lilitan ketua pasukan akan dikongsi dalam kalangan tiga pemain, iaitu Mohamad Razie Abdul Rahim, Mohd Fitri Saari dan Muhamad Azuan Hassan.

Selain Malaysia, kejohanan edisi ke-28 itu akan disertai India, Kanada, Poland, Jepun, dan juara bertahan, Korea Selatan.

Piala Sultan Azlan Shah kali ini turut menjadi medan pemanas badan buat skuad hoki kebangsaan menjelang Kejohanan Siri Hoki Akhir Dunia 2019 di Kuala Lumpur, bermula 26 April depan untuk merebut slot ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.