Piala Vivian May Soars: TLHT tebus kekecewaan

Oleh Staff Writer 2 Mac 2018 2134
Piala Vivian May Soars: TLHT tebus kekecewaan
Juara Piala Vivian May Soars musim lalu, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), menebus kekecewaan selepas gagal layak ke perlawanan akhir dengan membelasah KL Wipers 10-0 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Nasional 2 Bukit Jalil, hari ini.

Dibarisi tujuh pemain kebangsaan serta Pahila Judith Larissa Arnold dari Jerman, TLHT ternyata terlalu hebat buat KL Wipers.

Mereka sudah berada 2-0 di depan melalui Siti Rahmah Othman pada minit ketiga sebelum Fazilah Sylvester Silin menambah jaringan melalui gol padang, dua minit kemudian.

Pada minit ke-21, Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail memahatkan jaringan ketiga THT hasil kesilapan penjaga gol yang gagal menangkap kemas dan kedudukan berubah menjadi  4-0 sebelum suku kedua melalui Siti Noor Amarina Ruhani.

Norazlin Sumantri tidak ketinggalan meletakkan nama dalam senarai penjaring menerusi dua gol pada minit ke-33 dan 35.

Bintang Jerman, Pahila, terus membuat lawan menderita dengan jaringan menarik pada minit ke-50, diikuti Hidayah, lapan minit kemudian.

Dua minit sebelum permainan tamat, Norfatin Nabila Mazlan serta Nur Syafiqah Mohd Zain melengkapkan pesta jaringan TLHT untuk kemenangan 10-0.

"Memang sukar untuk membangkitkan semula semangat selepas dikecewakan dalam separuh akhir. 

"Mereka mahu menghabiskan saingan liga dengan cara terbaik. Kita boleh lihat melalui keputusan perlawanan 10-0," kata jurulatih THLT, Harun Al Rashid Samri. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen