Sedikit kelekaan akan meranapkan impian Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) untuk merangkul gelaran juara Piala Vivian May Soars berdasarkan kemampuan yang dimiliki pasukan jemputan dari China, Liaoning Infinite Space HC (LISHC) menjelang aksi final di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, esok.

Itu yang ditekankan pengendali TLHT, Iman Gobinathan, yang ingin barisan pemainnya tidak mengambil mudah kemampuan pasukan yang menyingkirkan juara bertahan, PDRM Blue-Warriors, untuk ke final itu.

Kedua-dua pasukan berkenaan pernah bertembung dalam pusingan pertama liga dengan TLHT meraih kemenangan 4-2 sebelum tewas 0-1 dalam pusingan kedua.

Sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam aksi final sekiranya barisan pemain TLHT kehilangan fokus, terutama dalam aspek bertahan.

"Kami perlu menerapkan kepentingan apa yang perlu dilakukan ketika kehilangan bola.

"Bertahan sewaktu menghadapi serangan balas amat penting dalam aksi final.

"Kami tidak boleh hanya menyerang tetapi perlu juga memperkemaskan pertahanan.

"Mereka mempunyai pemain berkualiti tinggi dengan empat daripada mereka bertaraf Sukan Olimpik," katanya.

Tiada tekanan yang diberikan Gobinathan dalam sesi latihan terakhir pasukannya dengan menyedari majoriti pemainnya masih keletihan disebabkan jadual padat musim ini.

"Pemain saya amat penat disebabkan jadual padat.

"Amat penting untuk kami melakukan proses pemulihan," tambahnya.