TLHT 0 PKS-UNITEN 0
(TLHT ke final dengan agregat 4-2)

Bekalan dua gol yang dibawa Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) ketika menewaskan PKS-Uniten 4-2 dalam separuh akhir pertama kelmarin membantu pasukan itu ke final selepas aksi separuh akhir kedua di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi hari ini berkesudahan tanpa jaringan.


TLHT diuji dengan tiga pukulan sudut penalti dalam suku pertama, namun dua daripadanya berjaya diselamatkan penjaga gol, Bakhavaddin Glizal, sementara satu lagi disia-siakan pasukan lawan.

PKS-Uniten menerima pukulan sudut penalti keempat dalam suku kedua, namun Bakhavaddin sekali lagi bertindak cemerlang untuk menafikan usaha itu.

Dalam suku ketiga, PKS-Uniten terus menguasai perlawanan menerusi beberapa percubaan bagi menembusi gawang TLHT, namun gerakan padang dan kelebihan dua pukulan sudut penalti yang dimiliki masih gagal merobek gawang TLHT.

TLHT akhirnya menerima pukulan sudut penalti pertama pada tiga minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, flik daripada kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, diselamatkan penjaga gol lawan.

Pengendali TLHT, Iman Gobinathan, berpuas hati dengan persembahan pasukannya mempertahankan kelebihan itu dan menggesa mereka untuk menyempurnakan musim ini dengan kejuaraan.

"Apabila beraksi dalam separuh akhir kedua, pasukan yang ketinggalan akan memberikan tekanan.

"Kami sebagai pasukan yang mendahulu akan bertahan sebaik mungkin dan mencuba untuk melakukan serangan balas.

"Pemain saya telah bertahan dengan baik dan kami juga melakukan beberapa serangan.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah apabila beraksi dalam perlawanan timbal balik seperti ini.

"Saya memuji pemain saya yang beraksi bermati-matian hari ini.

"Ia cukup menggembirakan jika kami dapat meraih dua kejuaraan berturut-turut dan tentunya saya mahu pasukan ini menjadi juara.

"Kami mempunyai waktu rehat sehari menjelang aksi final.

"Kami akan melakukan sesi pemulihan dan sudah pasti perlawanan akhir nanti bukan perlawanan yang mudah.

"Kami perlu bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.


Dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua, PDRM Blue-Warriors bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas Liaoning Infinite Space HC (LISHC) untuk mengikat kedudukan agregat 3-3 sebelum tewas 2-3 dalam penentuan pukulan penalti.

Dua jaringan daripada Nuramirah Shakirah Zulkifli menerusi gerakan padang pada minit ke-31 dan ke-50 membantu PDRM Blue-Warriors mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti selepas kedudukan agregat terikat 3-3.

Bagaimanapun, penentuan itu memihak LISHC 3-2 menerusi jaringan Yu Qian, Chen Yang dan Chen Yiming.