Aksi separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars 2019 hari ini menyaksikan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) memiliki kelebihan bekalan gol untuk dibawa ke pusingan kedua selepas masing-masing mencatatkan kemenangan.

LISHC berjaya mendahului PDRM-Blue Warriors 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama sementara TLHT membawa bekalan 4-2 selepas menewaskan PKS-Uniten untuk ke pusingan timbal balik yang akan berlangsung Khamis ini.

Dua jaringan Chen Yiming menerusi gerakan padang pada minit kedua dan ke-14 membantu LISHC memenangi aksi separuh akhir pertama sementara PDRM Blue-Warriors mencuri satu gol menerusi pukulan sudut penalti ketiga yang dimiliki mereka pada minit ke-21 hasil jaringan Nadia Abd Rahman.

Walaupun ketinggalan satu gol dalam separuh akhir pertama, pengendali PDRM Blue-Warriors, Zulkhairi Ariffin, tetap optimis pemainnya akan bangkit dalam separuh akhir kedua nanti di mana mereka akan bermain di laman rasmi mereka di Stadium Hoki Tun Razak.

“Dalam perlawanan hari ini, kami mempunyai peluang untuk mencipta jaringan menerusi pukulan sudut penalti tetapi sayangnya salah satu pukulan sudut penalti kami terkena tiang. Sekiranya ia merupakan satu jaringan, pastinya permainan akan berubah.

“Secara keseluruhannya, pemain saya ada melakukan kesilapan dan saya tidak nafikannya tetapi mereka berjaya mencipta peluang.

"Jika dilihat aksi yang berlangsung tadi, setiap kali pemain saya memegang bola, sekurang-kurangnya tiga pemain LISHC akan menekan mereka untuk menyekat pemain saya dan boleh dilihat LISHC juga menunjukkan satu corak pemainan yang baik.

“60 minit seterusnya kami tidak mempunyai pilihan selain daripada bermain mati-matian dan bangkit untuk menamatkan pusingan kedua dengan mencari gol kemenangan.

“Saya percaya pemain akan melakukan segalanya dalam aksi timbal balik nanti dan saya melihat pusingan kedua juga akan menjadi kelebihan buat kami kerana kami akan beraksi di laman kami sendiri,” jelas Zulkhairi selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak menyaksikan PKS-Uniten terlebih dahulu merobek gawang TLHT pada minit kelapan selepas Hanis Nadiah Onn cemerlang menjaringkan gol menerusi gerakan padang.

Walaupun TLHT ketinggalan sehingga suku ketiga, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengejar kedudukan.

Usaha TLHT untuk kembali mengikat kedudukan berhasil pada minit ke-44 selepas Siti Rahmah Othman cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Namun, pada minit ke-50, PKS-Uniten kembali berada di hadapan apabila giliran mereka yang menerima pukulan sudut penalti berjaya menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan oleh Nur Zafirah Aziz.

Bagaimanapun TLHT terus menunjukkan kebangkitan dengan meledak dua gol berturut-turut menerusi pukulan sudut penalti, kali ini pemain import mereka, Man Meet Kaur, mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-52.

Berselang dua minit kemudian, Siti Rahmah sekali lagi muncul selaku penyumbang gol buat TLHT untuk kedudukan berubah 3-2 bagi meletakkan TLHT di hadapan.

Beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, melengkapkan gol kemenangan TLHT menerusi pukulan sudut penalti dan kedudukan 4-2 berpihak kepada TLHT untuk menjadi bekalan mereka dalam pertemuan kedua nanti.

Aksi timbal balik separuh akhir kedua akan berlangsung Khamis ini pada jam 5.00 petang dengan LISHC akan bertemu PDRM Blue Warriors di Stadium Hoki Tun Razak dan PKS-Uniten akan berdepan TLHT di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.