Penjaga gol Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Asma'a Ahmad Kamil, sedia diturunkan selaku benteng terakhir dalam aksi separuh akhir Piala Vivian May Soars, esok.

Ini berikutan ketiadaan penjaga gol utama, Guzal Bakhavaddin, yang hari ini terpaksa pulang ke negaranya, Kazakhstan, sebaik tamat pusingan liga.

Sambil merasai kehilangan tonggak itu, Asma'a, 22, begitupun tidak menganggap ketiadaan Guzal sebagai alasan untuk mereka gagal beraksi baik bertemu PKS Uniten.

Menurutnya, penjaga gol Kazakhstan itu turut meninggalkan 'amanat' mempertahankan Piala Vivian May Soars selepas kecewa dalam saingan liga.

"Kami sedia maklum dia (Guzal) ada komitmen bersama pasukan kebangsaan. Jadi saya sudah bersedia dari awal untuk memberikan 100 peratus demi TLHT.

"Trofi liga sudah terlepas dari genggaman dan kalau boleh memang kami mahu bawa pulang Piala Vivian ini ke Kuala Terengganu," jelas pemain kelahiran Teluk Kalong, Kemaman itu.

TLHT gagal mempertahan kejuaraan liga dimenangi tahun lalu apabila ketinggalan dua mata di belakang Hockademy KL yang mengumpul 25 mata.

TLHT dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) dari China kemudian diumum juara bersama Piala Vivian May Soars selepas aksi final tidak dapat diadakan gara-gara hujan lebat.

Selain pertemuan TLHT-PKS Uniten, satu lagi aksi separuh akhir esok akan menemukan Hockademy KL dan PDRM Blue Warriors.

"Jika diberi peluang kembali menyarung jersi TLHT musim depan sudah tentu saya gembira untuk datang kerana pasukan ini cukup hebat.

"Walaupun ada masalah bahasa, ia tidak menghalang kami beraksi sebagai satu pasukan," kata Guzal melalui kiriman WhatsApp.

Kredit foto: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT)

Editor: Nafis Abdullah