Selepas menamatkan kemarau kejuaraan selama dua tahun, pemenang Liga Hoki Wanita, PKS Uniten-KPT, bertekad mahu menambah satu lagi gelaran, iaitu Piala Vivian May Soars, dalam koleksi mereka pada musim ini.

PKS Uniten dinobatkan sebagai juara liga musim ini setelah membenam Penang Juniors 8-0 dalam perlawanan terakhir liga, yang menyaksikan mereka mengatasi pencabar terdekat, Blue Warriors, dengan kelebihan jaringan meskipun kedua-dua pasukan terikat 30 mata.

Berbekalkan momentum cemerlang sepanjang kempen dalam saingan liga, jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan, percaya anak buahnya mampu menjulang satu lagi piala untuk musim ini.

Hanya empat pasukan terbaik dalam liga akan bersaing dalam Piala Vivian May Soars, dan PKS Uniten akan bertemu pasukan KL Wipers dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Bukit Jalil, jam 6 petang ini.

"Sudah tentu, itu lah yang disarankan oleh pihak pengurusan PKS Uniten, di mana kami akan merangkul kedua-dua piala pada tahun ini.

"Saya berharap semua pemain dapat menumpukan perhatian terhadap apa yang diajukan pihak atasan," kata Lailin.

Berdasarkan rekod pertembungan dalam liga musim ini, PKS Uniten diramalkan tidak mempunyai sebarang masalah kerana pernah membelasah lawannya itu 8-1, 27 Januari, dan menang 4-0 pada 13 Februari lalu.

Kekuatan PKS Uniten juga terletak kepada penyerang utamanya, Hanis Nadiah Onn dan Nuraini Abdul Rashid, yang masing-masing kini mengumpul keseluruhan 11 gol.

"Dalam kejohanan ini, saya mahu menaikkan semula nama PKS Uniten yang sebelum ini tidak layak untuk ke separuh akhir.

"Insya-Allah, kami akan mara ke final pula pada tahun ini," kata Hanis.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir menemukan Blue Warriors dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) pada sebelah malam.