Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai saingan Piala TNB susulan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 2-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Hadir dengan reputasi selaku juara Liga Hoki Malaysia (LHM) dan pemenang Trofi Sumbangsih, UniKL terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pendahuluan lawan setelah Nabil Fiqri Mohd Noor menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

UniKL kendalian Arul Selvaraj itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-48 untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Mohamad Faid Farhahd Mohamad Shah sebelum pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil, mengesahkan kemenangan 2-1.

Sementara itu, dalam aksi sebelum itu, skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakhiri saingan di tempat ketiga susulan kejayaan menewaskan Maybank 5-2.

Dua jaringan Muhammad Amirul Hanif Mamat serta masing-masing satu gol daripada Norsyafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membolehkan TNB mengesahkan kemenangan walaupun lawan cuba memberikan tentangan menerusi ledakan Muhammad Shafiq Hassan dan Joel Samuel Van Huizen.

"Secara taktikal, kami bermain dengan baik. Selepas mendahului, situasi kad kuning membuatkan aksi menjadi lebih sengit," ujar pengendali THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

"Sudah tentu kami perlu bangkit kerana ketinggalan. Saya hanya memberitahu pemain agar bersabar dan kekal disiplin kerana kami pasukan lebih baik," tambah Arul.