Kegagalan pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Firhan Ashaari, ketika penentuan pukulan penalti membolehkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) melakar kemenangan 8-7 untuk mara ke final Piala TNB selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 6-6 dalam separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional 2, malam ini.

Separuh akhir kedua itu menyaksikan saingan sengit ditampilkan kedua-dua pasukan, dengan KLHC berhempas-pulas untuk menundukkan TNB yang berkelebihan 3-2 yang diraih dalam aksi pertama Ahad lalu.

TNB terlebih dahulu mencetak gol pembukaan hasil jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan untuk menambah kelebihan agregat pasukan kepada 4-2 pada minit ke-11.

KLHC ternyata langsung tidak terkesan dengan gol itu, sebaliknya membalas dengan jaringan penyamaan empat minit kemudian menerusi Thomas Carson bagi menjadikan agregat 4-3.

Selepas itu, KLHC semakin garang merobek gawang lawan, dengan Jang Jong-hyun menyumbat gol kedua sebelum Mohd Syamim Mohd Yusof membawa kepada agregat 4-5 memihak anak buah Lim Chiow Chuan itu.

Enggan menyerah, TNB bangkit mengejar menerusi jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Syed Syafiq untuk membolehkan mereka sekali lagi di depan dengan agregat 6-5.

Pada minit ke-56, Muhammad Razie Abdul Rahim pula menyumbat gol keempat KLHC bagi menjadikan agregat terikat 6-6, sekali gus mengheret aksi ke penentuan pukulan penalti.

Ia disudahi kegagalan Firhan yang memastikan KLHC ke final menerusi kemenangan 8-7 dalam penentuan pukulan penalti itu.