Skuad hoki remaja B-21 negara mahu memastikan mereka dapat meraih kedudukan lebih baik dalam Kejohanan Piala Sultan Johor 2019 yang akan membuka tirai Sabtu depan.

Selepas menduduki tempat kelima pada edisi tahun lalu, jurulatih skuad remaja B-21 negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, percaya dengan kemampuan anak didiknya untuk memburu kedudukan tiga teratas dalam kejohanan yang menampilkan enam pasukan itu.

Keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa di samping kehadiran beberapa pemain yang memperkuatkan lagi pasukan, terutama dua pemain dari skuad senior, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

"Hampir keseluruhan pemain dalam skuad ini masih boleh beraksi dalam kelayakan Piala Dunia Remaja 2021, pasukan ini lebih baik berbanding edisi tahun lalu.

"Mereka sudah beraksi bersama dalam satu tempoh yang panjang dan saya harap mereka mampu berikan tentangan kepada pasukan utama seperti Great Britain dan Australia," jelas Nor Saiful Zaini.

Skuad negara akan mengharungi satu perlawanan pemanas badan menentang Great Britain di Johor Bahru Rabu ini sebelum membuka cabaran dengan aksi pembukaan menentang India, tiga hari kemudian.

Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof. Datuk Dr. Shamala Subramaniam, turut meletakkan keyakinan tinggi terhadap skuad B-21 negara bagi membuktikan kemampuan.

"Kami dapat membentuk satu pasukan yang amat baik untuk kejohanan Piala Sultan Johor kali ini. Sudah pasti sebagai tuan rumah, kami sentiasa mahu lakukan yang terbaik.

"Mereka akan menentang beberapa pasukan yang hebat, ia dapat memberikan gambaran kepada kami sejauh mana keberkesanan program pembangunan dengan matlamat utama untuk layak ke Piala Dunia Remaja 2021," ujarnya.

Piala Sultan Johor 2019 akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dengan menampilkan pasukan Australia, Great Britain, India, Jepun, New Zealand di samping tuan rumah, Malaysia.