Piala Sultan Johor: Malaysia terus dirundung malang 

Oleh Bernama 16 Oktober 2019 2050
Piala Sultan Johor: Malaysia terus dirundung malang 
Skuad remaja negara terus dirundung malang apabila dibelasah 0-6 ketika berdepan New Zealand dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki Antarabangsa B-21 Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Sadium Hoki Taman Daya, malam tadi. 

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin itu gagal melakar kemenangan pertama apabila sekadar seri 1-1 dengan Australia dua hari lalu dan tewas 2-4 bertemu India dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Anak buah Bryce Collins itu yang melakar kemenangan pertama menerusi aksi malam tadi, bermula garang dan tidak teragak-agak mengucar-kacirkan benteng tuan rumah.

Sebaliknya, skuad muda negara jelas gagal menemui rentak sepanjang perlawanan selain gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.

Gol pertama dan kedua New Zealand, masing-masing dijaringkan menerusi gol padang Moss Jackson  (m-19) dan Maks Wyndham Smith (m-23).

Benji Edwards kemudian menambah derita pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-26 dan 33.

Pasukan pelawat terus ghairah menambah jaringan apabila meledak gol kelima dan keenam, masing-masing melalui pukulan sudut penalti Dylan Thomas(m-45) dan Benji Edwards yang turut menyempurnakan jaringan hatrik pada minit-47.

Perlawanan petang semalam turut menyaksikan juara bertahan, Great Britain, semakin hampir untuk mara ke pentas akhir apabila menundukkan Australia 1-0, sekali gus melakar kemenangan ketiga mereka.

Gol tunggal skuad kendalian Jon Bleby itu hadir seawal minit pertama menerusi gol padang Jamie Golden dan anak buah Ben Bishop itu cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Dalam perlawanan lain, Jepun meraih tiga mata pertama apabila mengejutkan pasukan pilihan, India, 4-3.

Skuad kendalian Kyoichi Mori itu, yang sebelum ini tewas dua perlawanan kepada Australia dan Great Britain, merobek gawang lawan seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Wataru Matsumoto dan Kosei Kawabe pada minit ke-22, juga melalui jaringan sama.

Ketinggalan dua gol, anak buah B J Kariappa itu bangkit dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Gursahibjit Singh (m-31), namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jepun menyumbat masuk gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Keita Watanabe (m-33).

Jepun memperoleh gol keempat pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Kosei Kawabe manakala gol kedua dan ketiga India disempurnakan Nand Sharda Tiwari pada minit ke-38 dan Pratap Lakra pada minit ke-53, kedua-duanya menerus pukulan sudut penalti.

Dalam aksi keempat hari ini, Malaysia akan bertemu Great Britain, India berdepan Australia, manakala New Zealand menentang Jepun.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen