Skuad hoki SSTMI Thunderbolt menjangka aksi sukar apabila diundi berdepan MBPJ Tigers di peringkat suku akhir Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia.

SSTMI, yang juga penyandang juara, enggan tumpas di tangan MBPJ selepas dikecewakan pasukan itu dalam Liga Hoki Remaja pada musim lalu.

Pengurus pasukan SSTMI, Adam Izamry Idrus, berkata lawan itu tidak boleh dipandang mudah selepas mereka menafikan misi pasukannya untuk bergelar juara liga dengan hanya dipisahkan dua mata.

"Kami agak tertekan apabila diundi bersama MBPJ kerana mereka menunjukkan mutu permainan yang bagus dalam saingan liga sebelum ini.

"Aksi terakhir semalam, mereka menundukkan Sekolah Sukan Bukit Jalil 4-3 dan saya dapat melihat peningkatan pasukan mereka," katanya.

Undian peringkat suku akhir berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, petang tadi.

Sementara itu, pengurus pasukan MBPJ Tigers, Nur Azizah Mukijan, nyata tidak berpuas hati dengan undian yang dilakukan kerana dilihat lebih memihak kepada skuad SSTMI.

Namun, katanya, mengambil kira peningkatan prestasi barisan pemain musim ini, tidak mustahil slot separuh akhir bakal berpihak kepada mereka untuk tahun ini.

"Secara jujur, saya ada berasa sedikit tidak berpuas hati kerana kalau diikutkan, susunan seperti sudah dirangka.

"Kami tidak berdepan masalah dan akan berusaha sehingga ke wisel terakhir, cuma bagi kami ia tidak adil," katanya.

Saingan suku akhir akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Rabu depan.

Keputusan undian suku akhir:

5.00 ptg: Anderson Thunderbolt lwn MBMB Warriors.

5.00 ptg: MSSPP-PSHA lwn AHP-SSP-Thunderbolt.

8.00 ptg: SSTMI Thunderbolt lwn MBPJ Tigers.

8.00 ptg: BJSS Thunderbolts lwn SMKDBL-UniKL-PHJ.