Piala Razak: Shello sedia robek gawang Melaka

Oleh Staff Writer 28 September 2019
Piala Razak: Shello sedia robek gawang Melaka
Pemain hoki Johor, Shello Silverius, sekali lagi bersedia memainkan watak pemusnah dalam usaha membantu pasukannya merampas kejuaraan Piala Razak 2019 ketika berdepan Melaka di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Shello sudah pun beraksi sebanyak empat kali dalam saingan itu bersama pasukan berlainan seperti Sabah dan PDRM.

Namun, tuah tampak semakin memihak buat Shello yang menabur bakti bersama Johor dalam edisi ini apabila meledak hatrik ketika menentang finalis tahun lalu, Terengganu, semalam untuk membawa pasukannya ke pentas akhir Piala Razak.

"Ini merupakan kali pertama Johor ke final. Saya dan rakan sepasukan akan cuba memberikan yang terbaik untuk muncul juara," katanya.

Ia juga peluang terbaik buat pengendali, Sarjit Singh, untuk mencapai sasarannya meraih kejuaraan sejak mula memangku tugas tersebut tahun lalu.

Apatah lagi, jurulatih berpengalaman itu mengatur pendekatan menggunakan khidmat pemain muda dan sudah bersedia untuk berdepan juara 2015 itu bagi menentukan pemenang edisi kali ini.

"Kami akan berusaha untuk merangkul kejuaraan. Johor dibarisi pemain-pemain muda dan tiada siapa yang menjangkakan kemampuan kami dan kini kami sudah berada dalam aksi final.

"Kami akan berusaha menjuarainya," kata Sarjit.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen