Kapten skuad hoki Kuala Lumpur, Ramadan Rosli, kecewa dengan sikap pihak pengurusan yang mengabaikan kebajikan pemain walaupun pasukan itu menewaskan Terengganu 3-2 dalam perlawanan Kumpulan B, Piala Razak hari ini.

Pemain Kuala Lumpur tetap komited untuk menyarung jersi juara 18 kali itu walaupun tidak mendapat elaun latihan dan hotel penginapan.

Hanya semangat cintakan pasukan menjadi azimat ketika mereka beraksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang tadi.

Penyerang Kuala Lumpur, Syamim Yusuf, muncul wira pasukan itu apabila meledak dua gol selain gol awal penyerang muda, Danial Asyraf Abdul Ghani, dalam suku kedua.

Terengganu pula gagal memanfaatkan peluang selepas mendahului menerusi Mohd Abid Sufian Mat Ruslee dan sentuhan Mohd Shahrin Izzudin Shamsuri.

"Sampaikan mereka kata KL ini tidak perlu datang untuk menyertai Piala Razak.

"KL dah 18 kali juara, jadi mengapa tidak mahu hantar? Mengapa kami perlu tarik diri?

"Mereka sepatutnya menyokong kami.

"Saya rasa ia memang tidak sepatutnya pihak KLHC yang baru ini buat seperti ini kepada pasukan Piala Razak," kata Ramadan.

Sementara itu, walaupun sudah lima tahun meninggalkan skuad kebangsaan, Syamim terbukti masih berbisa dalam kawasan D.

"Seperti biasa, saya hanya fokus untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

"Walaupun saya tidak berapa cergas, saya buat yang terbaik untuk pasukan.

"Benda itu (masalah di luar padang) kami tolak dahulu ke tepi.

"Walaupun pihak pengurusan enggan menaja kami, kami tetap bermain sebagai satu pasukan untuk bendera di jersi dan memenangi setiap perlawanan," katanya.