Persatuan Hoki Perak (PHP) berharap hadiah wang tunai untuk juara Kejohanan Hoki Piala Razak dinaikkan agar taraf dan martabat kejohanan itu dapat ditingkatkan.

Presiden PHP, Datuk Azhar Ahmad, berpendapat RM10,000 terlalu kecil bagi kejohanan berprestij yang menjadi lambang keagungan sukan hoki di negara ini.

Justeru, Azhar mencadangkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) agar mencari jalan menaikkan hadiah wang tunai kejohanan itu.

"Ini adalah kejohanan unggul yang dinamakan sempena perdana menteri kedua Malaysia.

"KHM sepatutnya mengambil inisiatif memelihara martabatnya dengan meningkatkan nilai hadiah wang tunai. Berdasarkan hadiah wang tunai yang ditawarkan setakat ini, Piala Razak tidak ubah seperti sebuah kejohanan kampung.

"Dengan hadiah sebanyak itu, KHM bagaikan menganjur kejohanan seperti melepaskan batuk di tangga.

"Kos persiapan pasukan ke kejohanan itu sendiri pun mencecah RM30,000-RM40,000," katanya kepada pemberita selepas meraikan pasukan B-14, B-16 dan veteran Perak yang muncul juara kejohanan kategori masing-masing tahun lalu.

Menurut Azhar, KHM sendiri yang menjatuhkan martabat hoki sedangkan sukan hoki Malaysia bertaraf dunia.

Katanya, pasukan hoki Malaysia menduduki ranking ke-12 di dunia tetapi malangnya permainan itu dipandang sepi dan tidak popular seperti bola sepak.

Beliau hairan kenapa badan induk itu tidak berusaha mencari dana, termasuk meminta sumbangan daripada setiap menteri besar dan ketua negeri yang menjadi ahli gabungan.

"Kita ada 14 negeri. Jika setiap negeri sumbang RM5,000, bermakna ada RM60,000. Ia boleh dijadikan hadiah kemenangan Kejohanan Piala Razak," katanya.

Azhar menyifatkan tahun 2018 merupakan tahun paling berjaya buat sukan hoki Perak kerana hampir menyapu bersih semua kejohanan kecuali Sukan Malaysia (Sukma) Perak.