Hasrat Pahang untuk kekal dengan rekod tanpa kalah peringkat Kumpulan A berjaya apabila menumpaskan Perak 2-0 dalam saingan hoki wanita Piala Tun Abdul Razak 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Pahang tidak memiliki sebarang masalah untuk mengetuai permainan apabila berjaya mencari gol pendahuluan pada suku kedua menerusi Siti Noor Amarina Ruhani pada minit ke-27.

Pahang yang mengungguli Kumpulan A berterusan memberikan tekanan kepada Perak yang jatuh ke tangga ketiga kumpulan apabila Siti Zulaikha Hussin berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menambah gol kedua pada minit ke-49.

Perak cuba memburu gol pertama mereka apabila dihidangkan peluang terbuka, namun berjaya disekat oleh Nor Izaidah Ibrahim

Ketua jurulatih Pahang, Mohd Asyraf Benadict Abdullah, kini mahu anak buahnya memanfaatkan rehat satu hari yang diberikan sebelum bersedia untuk aksi separuh akhir, Jumaat ini.

"Saingan masih terbuka, setiap pasukan yang bertanding bergelut untuk mencipta persembahan cemerlang," kata Asyraf.

Pengendali Perak, Mohd Azlan Ahmad, harus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam aksi penentuan berdepan Terengganu untuk layak ke separuh akhir manakala Terengganu hanya perlu seri untuk menafikan hasrat lawannya itu.

"Kami akan cuba mengetepikan kekalahan ini dan membuat persiapan menghadapi lawan seterusnya, iaitu Terengganu," kata Azlan.

"Menyedari ia adalah satu perlawanan yang sukar, Perak tetap akan berusaha memberikan yang terbaik untuk mara ke separuh akhir."