Piala Razak: Kuala Lumpur sahkan tempat dalam separuh akhir

Oleh MHC 23 September 2019 731
Piala Razak: Kuala Lumpur sahkan tempat dalam separuh akhir
Kuala Lumpur mengesahkan tempat dalam separuh akhir Piala Razak 2019 selepas mencatat kemenangan kedua ke atas Pahang dalam aksi Kumpulan B, Divisyen 1, sebentar tadi. 

Meskipun dua kali ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain Kuala Lumpur apabila jaringan Mohamad Amirol Aideed Mohd, Mohamad Syamim Mohd Yusof dan Harvinder Singh memastikan kemenangan 3-2 memihak skuad kendalian I. Vickneswaran itu untuk meraih enam mata daripada dua perlawanan.

Dalam pada itu, Terengganu melakar kemenangan pertama dalam satu lagi aksi Kumpulan B selepas mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Pulau Pinang dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook mempamerkan kecemerlangan menerusi empat jaringan.

Perak pula akhirnya memperoleh kemenangan yang dinantikan dalam kempen kali ini selepas mengatasi PDRM 5-2 untuk menghidupkan peluang tipis memburu slot separuh akhir.

Beralih ke Divisyen 2, Selangor meneruskan penguasaan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini dengan mengatasi Kedah 3-2.

Amir Zulkarnain Ahmad Robangi, Muhammad Zulfitri Md Zin serta Abdul Rauf Mohd Nazri merakamkan jaringan untuk Selangor.

Perlis pula melakar kemenangan kedua apabila mengatasi Negeri Sembilan 6-1 dengan Najmi Farizal Jazlan memperoleh dua jaringan selain ATM mencatat kemenangan 4-1 ke atas Kelantan.

Bagi kategori wanita, Selangor mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan kedua dengan mengatasi Terengganu 2-1 dalam aksi Kumpulan B.

Nurul Natasha Fairuz sekali lagi menemui sentuhan penyudah di samping satu lagi jaringan oleh Nur Atira Mohamad Ismail bagi memastikan kemenangan memihak Selangor.

Satu lagi pertemuan Kumpulan B menyaksikan ATM menewaskan Melaka 2-1 hasil jaringan Siti Noor Amarina Ruhani dan Surizan Awang Noh, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti.

 

Tentang Penulis

MHC
MHC

Komen