Piala Razak: Jurulatih Kuala Lumpur bangga di sebalik masalah dana 

Oleh Staff Writer 23 September 2019
Piala Razak: Jurulatih Kuala Lumpur bangga di sebalik masalah dana 
Pengendali skuad hoki Kuala Kumpur, I. Vikneswaran, menyuarakan rasa bangganya terhadap semangat yang dijelmakan pemainnya ketika menewaskan Pahang 3-2 dalam aksi Kumpulan B, Piala Razak, sebentar tadi biarpun pasukannya dihimpit kemelut kewangan.  

Biarpun tidak menerima sokongan kewangan daripada pengurusan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), namun skuad hoki Warga Kota itu tetap menyerlahkan semangat tinggi ketika berdepan Pahang.

Lebih menarik, Vikneswaran sendiri turut mengeluarkan wang sendiri dalam memastikan kebajikan pemainnya dalam saingan itu. 

Suasana kekeluargaan dalam pasukan menjadi kekuatan utama Kuala Lumpur, justeru barisan pemain tidak memikirkan kemelut itu ketika beraksi.

"Pada hari pertama perlawanan barulah saya diberitahu tentang tanggungjawab untuk mencari dana.

"Sebagai bekas atlet dan kini melatih serta menguruskan pasukan, sudah tentu kami mempunyai semangat juang.

"Kami akan cuba yang terbaik," katanya. 

Dalam pada itu, pengurus pasukan, S. Vignesvaran, berkata pucuk pimpinan KLHA sedang berusaha untuk menyelesaikan tunggakan elaun pemain dalam masa terdekat.

"Kami hanya fokus untuk menang. 

"Apa-apa masalah pengurusan tertinggi sedang uruskan dan mereka tetap berikan sokongan. 

"Saya cuba sedaya yang mampu untuk kami bertahan seperti cerita kejayaan yang anda nampak hari ini," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen