Sentuhan bekas jurulatih skuad kebangsaan Bangladesh, Iman Gobinathan Abdullah, membantu Kuala Lumpur meraih kemenangan sulung dalam Piala Razak apabila menewaskan Johor 3-0 dalam aksi Divisyen 1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Aksi petang tadi menjadi kemenangan sulung buat Kuala Lumpur yang dibarisi pemain kurang ternama.

Gobinathan, yang menamatkan kontrak bersama Bangladesh bulan lalu, menerapkan taktikal yang tepat untuk bangkit daripada keputusan seri menentang Melaka dalam aksi pertama sebelum ini.

Lebih penting, kemenangan itu mengukuhkan kedudukan juara 19 kali itu dalam perebutan tiket ke final.

"Secara teknikal, pemain kami menampilkan persembahan lebih baik. Kami cuba mengubah sistem permainan dalam setiap perlawanan.

"Paling penting adalah kebolehan untuk mengubah serta mencorak serangan di dalam kawasan D," kata Gobinathan.

Dalam aksi petang tadi, pakar pukulan sudut penalti, Aminuddin Mohd Zain, meletakkan Kuala Lmpur di depan pada minit ke-32 sebelum penyerang muda, Wan Haziq Hishamuddin Wan Ameer, melebarkan kedudukan pada minit ke-54.

Mohd Syamim Yusuf mengesahkan tiga mata penting Kuala Lumpur menerusi jaringan pada minit ke-56.

"Kemenangan hari ini adalah hasil daripada kerja keras seluruh pasukan yang mengikut setiap perancangan yang telah dilakukan. Kami memecahkan kubu lawan untuk meraih gol," ujar Wan Haziq.

"Mungkin selepas ini persefahaman antara pemain akan menjadi lebih baik," tambah pemain tengah Johor, Shello Silverius.