Jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak luntur semangat terhadap peluang Malaysia walaupun diundi bersama Belanda, Jerman dan Pakistan dalam Kumpulan D, Piala Dunia di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, dari 28 November hingga 16 Disember depan.

Undian Piala Dunia yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam menyaksikan Malaysia berada dalam kumpulan maut bersama tiga bekas juara dunia itu.

Van Huizen mengakui ia satu tugasan sukar, namun percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia meloloskan diri ke suku akhir, dengan format baru pertandingan bakal memperlihatkan pasukan di tangga ketiga kumpulan turut mara.

Bagaimanapun, Malaysia tetap wajib merakamkan sekurang-kurangnya satu kemenangan bagi meneruskan saingan ke peringkat seterusnya.

"Ia adalah undian yang sukar tetapi format kejohanan berbeza kali ini. Bagi kami, menyedari ada dua gergasi dari Eropah (Belanda dan Jerman), ia akan menjadi kejohanan yang sukar.

"Ditambah dengan adanya gergasi dari Asia (Pakistan) juga, jadi kami perlukan satu keputusan.

"Jika mahu mara ke suku akhir atau menamatkan saingan lebih tinggi daripada tempat kesembilan, kami perlu sekurang-kurangnya meraih satu kemenangan dalam peringkat kumpulan," katanya.

Rata-rata pemain negara juga melontarkan nada sama terhadap undian Piala Dunia berkenaan.

"Kita tahu pasukan dalam kumpulan ini memang kuat. Tetapi kami tidak ambil kira kerana kami mempunyai tugasan lebih penting daripada Piala Dunia.

"Kami akan ambil satu kejohanan ke satu kejohanan," kata pertahanan negara, Muhammad Razie Abdul Rahim.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, berkata: "Memang satu perlawanan yang sukar dalam kumpulan tetapi mahu atau tidak, kami perlu bermain.

"Yang bagusnya, kita sudah tahu pasukan kita adalah pasukan handal, jadi kami boleh buat persiapan dengan lebih rapi. Saya yakin kami boleh mencipta sesuatu daripada peringkat kumpulan ini."


Undian Piala Dunia

KUMPULAN A :

• Argentina, New Zealand, Sepanyol, Perancis

KUMPULAN B :
• Australia, England, Ireland, China

KUMPULAN C :
• Belgium, India, Kanada, Afrika Selatan

KUMPULAN D :
• MALAYSIA, Belanda, Jerman, Pakistan