MALAYSIA 20 FILIPINA 1

Malaysia meneruskan aksi cemerlang dengan berkenduri gol 20-1 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Chonburi, Thailand hari ini.


Skuad lelaki negara itu, yang dibimbing Megat Azrafiq Megat Termizi, menguasai permainan apabila mendahului 9-0 dalam separuh masa pertama.

Empat gol dijaringkan masing-masing oleh Faridzul Afiq Mohd dan Shafiq Yaacob manakala Muhammad Firdaus Omar dan Muhamad Azhar menjaringkan hatrik, diikuti dua gol masing-masing melalui Aminudin Zain, Shello Silverius dan Rafizul Mustafa.

Marvin Lianza menyumbangkan gol tunggal Filipina pada minit ke-31 melalui jaringan padang.

Berikutan aksi cemerlang itu serta kemenangan 6-0 ke atas Bangladesh semalam, Malaysia akan menghadapi juara bertahan, Iran, Khamis ini dan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Thailand, sehari kemudian.

Sementara itu, skuad wanita negara pula akan berdepan tuan rumah, Thailand, esok, diikuti Taiwan, Khamis ini.

Hanya dua pasukan di tangga teratas peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir kejohanan dwitahunan itu, yang turut menawarkan tempat ke Piala Dunia 2021.

-- BERNAMA

*Gambar hiasan