Ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), I. Vickneswaran, mengambil pendekatan merendah diri menjelang final Piala Tan Sri P. Alagendra esok, dengan menyifatkan lawan mereka, Tenaga Nasional Berhad (TNB), merupakan pasukan berkualiti yang mampu mencipta kejutan.

THT pernah menjuarai Piala Tan Sri P. Alagendra pada 2017, namun dikecewakan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tahun lalu.

Menjadikan episod duka itu sebagai iktibar, Vickneswaran percaya mereka mampu membawa pulang trofi tersebut ke Kuala Terengganu memandangkan pemain import seperti Gonzalo Merino dan Pablo Xavier Travisan -- masing-masing dari Argentina -- sudah melaporkan diri.

Khidmat mereka mula digunakan dalam aksi separuh akhir semalam, dengan THT mudah menyingkirkan Maybank 4-1.

"Kami dapat melihat dengan jelas kekuatan TNB yang memiliki ramai pemain kebangsaan.

"Mereka juga memiliki barisan pemain remaja yang hebat.

"Secara keseluruhan, mereka memiliki tenaga tempatan terbaik di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, THT enggan memandang mudah cabaran yang akan disajikan TNB biarpun lawan itu menggunakan 100 peratus kudrat pemain tempatan.

Ia kerana sembilan pemain utama pasukan itu merupakan tonggak kebangsaan.

"Tiada jalan mudah buat kami memandangkan TNB merupakan pasukan yang perlu dihormati.

"Mereka mempunyai sembilan pemain kebangsaan yang cukup saya kenali.

"Saya berharap kedua-dua pasukan dapat menyajikan satu persembahan yang hebat esok," kata kapten THT, Fitri Saari.