Tiga slot separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 diisi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Terengganu Hockey Team (THT) dan Maybank selepas masing-masing meraih kemenangan dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mereka akan menyertai Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendapat laluan percuma ke separuh akhir.

Maybank mengesahkan slot itu selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-1 dalam penentuan "shoot-out" selepas aksi sebenar terikat 1-1.

UniKL pula tidak berdepan masalah untuk menewaskan TNB Thunderbolts 4-1 manakala THT mencatat kemenangan 3-1 ke atas Nurinsafi.

Aksi pada sebelah petang, UniKL menewaskan TNB Thunderbolts menerusi gol awal Najmi Farizal Jazlan pada minit ketujuh.

Mereka kemudian melebarkan jurang itu menerusi dua jaringan padang daripada Farhan Mohamad Zain pada minit ke-10 dan Muhamad Hafiz Zainol pada minit ke-28.

Razie Abd Rahim meledak gol keempat tidak lama selepas itu sebelum TNB Thunderbolts memperolehi jaringan saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Aminudin Mohd Zain.

Dengan kemenangan itu, UniKL akan berdepan TNB dalam aksi separuh akhir, esok.

Pengendali pasukan, Arul Selvaraj, mahu barisan pemain UniKL bermain secara bijak ketika bertemu pasukan yang dipenuhi bintang kebangsaan itu.

"Apa yang penting buat kami adalah kemenangan pertama dan tiada pemain yang tercedera.

"Saya pasti TNB akan turun dengan kekuatan penuh dan membariskan pemain-pemain kebangsaan milik mereka.

"Kami pula kekurangan pemain kerana lima pemain import masih belum tiba.

"Apa yang perlu kami lakukan esok adalah bermain secara bijak,” katanya.

Dalam pada itu, THT akan bertemu Maybank dalam aksi separuh akhir, selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Nur Insafi.

Penyerang import, Jang Jonghyun, meletakkan THT di depan pada minit ke-13 hasil jaringan pukulan sudut penalti.

Penyerang sensasi negara, Faizal Saari, melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-26.

Baljit Singh Sarjab kembali merapatkan jurang buat Nur Insafi pada minit ke-42.

Namun, Faizal Saari sekali lagi meledak pada minit ke-58 untuk mengesahkan kemenangan THT.

Jadual separuh akhir (Jumaat)
5.00 ptg: UniKL lawan TNB
7.00 ptg: THT lawan Maybank