Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kelab Hoki Terengganu (THT) akan membuat perhitungan di pentas final bagi merebut Piala Tan Sri P Alagendra 2019, Ahad ini, selepas masing-masing cemerlang menjinakkan lawan mereka dalam saingan separuh akhir di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

TNB yang turun dengan kekuatan penuh menewaskan UniKL 3-0 sementara THT tidak berdepan sebarang masalah untuk turut memastikan slot final menjadi milik mereka apabila menundukkan Maybank 4-1.

Terdahulu, pertemuan di antara TNB dan UniKL berlangsung rancak apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, namun TNB bijak untuk menggunakan kesempatan pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan tidak mempersiakan kelebihan yang dimiliki mereka.

TNB terus menggandakan jaringan pada minit ke-26 apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan jaringan yang memuktamatkan kemenangan buat TNB hadir pada minit ke-32 apabila Firhan Ashaari turut menjaringkan gol padang dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menjelaskan pemainnya bijak untuk menggunakan kekurangan UniKL yang ketiadaan beberapa pemain import yang masih belum tiba untuk menewaskan lawan mereka itu selain berpuas hati apabila anak-anak buahnya berjaya menjaringkan tiga gol tanpa bolos.

“Saya boleh katakan kami bernasib baik kerana UniKL tidak turun dengan kekuatan penuh kerana beberapa pemain import mereka masih belum tiba tetapi TNB bijak untuk menggunakan kesempatan tersebut untuk menewaskan mereka 3-0.

“Perlawanan hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan berjaya untuk menterjemahkan tiga daripada beberapa percubaan yang dimiliki yang mana ia cukup untuk membawa kami keluar sebagai pemenang.

“Selain itu barisan pertahanan serta penjaga gol kami, S. Kumar, beraksi cemerlang menidakkan percubaan-percubaan UniKL dan ini merupakan satu permulaan yang baik buat TNB bagi musim ini.

“Misi kami seterusnya adalah untuk menghasilkan satu lagi keputusan positif, iaitu cuba untuk memenangi perlawanan akhir, sekali gus mengangkat piala pertama untuk musim ini,” jelas Nor Saiful.

Pertemuan di antara THT dan Maybank pula menyaksikan THT memastikan slot di pentas akhir menjadi milik mereka selepas membenam cabaran Maybank 4-1.

THT membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila kelebihan pukulan sudut penalti disudahkan dengan cemerlang oleh Jang Jonghyun dan berselang empat minit, THT yang sekali lagi memiliki kelebihan pukulan sudut penalti kali ini melebarkan kedudukan menerusi penyudahan Muhammad Firdaus Omar.

Minit ke-19 menyaksikan giliran Pablo Javier Travisan untuk merubah kedudukan menjadi 3-0 apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti seterusnya.

Maybank dilihat cuba untuk mengecilkan jurang apabila Mohd Riduan Mohamad Nasir menjaringkan gol padang pada minit ke-23 untuk kedudukan berubah 1-3.

Bagaimanapun, THT terus menambah satu lagi jaringan, kali ini menerusi gerakan padang Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-53, sekali gus menutup pertemuan tersebut dengan kemenangan 4-1.

THT dan TNB akan bertemu di pentas final yang akan berlangsung di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.