Kapten Tenaga Nasional Nerhad (TNB), Faiz Helmi Jali, mahu membuktikan kuasa pemain tempatan untuk menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 apabila berdepan Terengganu Hockey Team (THT) dalam final, esok.

Pelaburan TNB terhadap pemain tempatan mula membuahkan hasil, dengan sembilan pemain kebangsaan yang bergabung dengan pemain muda menunjukkan persefahaman tinggi untuk menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), 3-0 dalam separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam

Lebih penting, TNB semakin hampir untuk menjulang Piala Alagendra selepas tewas kepada Sapura dalam final 2016.

"Kami menurunkan barisan pemain yang sama, cuma kehadiran S. Kumar memperkuatkan lagi skuad TNB," kata Faiz Helmi.

Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Mohd Azrai Aizad Abu Kamal dan Firhan Ashaari muncul peledak jaringan TNB, sekali gus mengesahkan slot ke final.

"Kami sangat berbangga kerana mara ke final dengan barisan pemain tempatan," kata Azrai.

"TNB perlu memastikan tidak melakukan kesilapan untuk muncul juara. Kami bermula dengan langkah kanan bagi menghadapi musim 2019," kata jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.